DISEMBER 2025

Premier Sarawak Umum BKK Dua Bulan Gaji, Insentif Khas Untuk Penjawat Awam Sarawak


KUCHING, 3 Disember 2025 - Penjawat awam Sarawak menerima khabar gembira apabila Premier Sarawak pada Rabu mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak dua bulan gaji, mengikut gaji pokok terakhir bulan November 2025.

Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg berkata, pemberian BKK itu adalah tanda penghargaan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terhadap komitmen dan dedikasi seluruh warga Perkhidmatan Awam Sarawak yang terus memastikan dasar serta inisiatif kerajaan dilaksanakan dengan berkesan di semua peringkat.

“Pembayaran BKK ini akan dibuat pada bulan ini (Disember) yang dijangka melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM131 juta. 

“Manakala kenaikan gaji (fasa kedua) SSPA (Sistem Saraan Perkhidmatan Awam) akan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM56 juta,” katanya ketika membentangkan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu. 

Selain itu, Premier Sarawak turut mengumumkan pemberian BKK sejumlah RM700 secara one-off kepada semua anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan yang berkhidmat di Sarawak sepanjang tahun 2025. 

“Bantuan khas ini akan dibayar pada suku pertama tahun 2026. Ini akan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM98 juta. 

“Pentadbiran saya berharap kedua-dua insentif ini akan menjadi dorongan kepada warga perkhidmatan awam untuk terus memperkasa mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” ujar beliau. 

Disamping itu, beliau turut mengumumkan bantuan kewangan secara one-off sebanyak RM500 kepada pesara Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak, melibatkan peruntukan sebanyak RM50 juta.

Sementara itu, berita gembira turut diterima oleh pengamal media apabila Premier mengumumkan insentif berjumlah RM700 secara one-off kepada pengamal media swasta yang berdaftar setakat 1 Disember 2025 dengan enam persatuan media di Sarawak. 

Katanya, sumbangan dan pengorbanan para pengamal media dalam menyampaikan maklumat dan berita secara profesional telah memberi impak besar kepada pembangunan sosio-ekonomi Sarawak. 

Menyentuh mengenai perkhidmatan awam, Premier turut menegaskan komitmen kerajaan untuk meneruskan transformasi Perkhidmatan Awam Sarawak agar kekal dinamik, responsif dan berprestasi tinggi. 

Menurutnya, perubahan landskap ekonomi dan peningkatan ekspetasi rakyat menuntut perkhidmatan awam yang lebih pantas, cekap dan berorientasikan prestasi. 

“Kita tidak boleh menjadi pentadbiran reaktif. Perkhidmatan awam mesti mampu menjangkakan cabaran dan bersedia merealisasikan aspirasi rakyat,” jelasnya.

Beliau menambah, kerajaan sedang melaksanakan penyusunan semula jabatan dan agensi bagi menghapuskan pertindihan fungsi dan meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan.

Melalui penyelarasan lebih baik, proses yang diperkemas serta akauntabiliti jelas, Premier berkata kerajaan menyasarkan sebuah pentadbiran yang lebih cekap dan memberi impak besar kepada rakyat Sarawak.

Premier turut menekankan bahawa pembangunan kemahiran dan kepimpinan dalam kalangan penjawat awam terus dipertingkat menerusi akses kepada pelbagai program latihan serta pendedahan global.

“Ini mencerminkan komitmen kerajaan terhadap pembangunan bakat di semua peringkat, tanpa mengira gender,” katanya.